Adab Bersama Al-Quran

Antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh umat islam tatkala ingin mendekatkan diri dengan Al-Quran ialah menjaga adab-adab dengan kitab suci ini. Menjaga adab dengan Al-Quran samada untuk membaca, menghafal dan bertadabbur ibarat menjaga adab dengan Allah memandangkan kitab tersebut ialah kalam Allah.

Moga-moga dengan menjaga adab dengan Al-Quran akan dipermudahkan lagi proses penghayatan terhadap kitab suci terakhir ini.


Antara adab-adab dengan Al-Quran adalah seperti berikut:-

1. Memilih waktu yang terbaik untuk membaca Al-Quran.
Membaca Al-Quran merupakan satu ibadat, maka waktu yang terbaik untuk beribadat ialah 1/3 akhir malam, jika terlepas bacalah pada waktu malam, jika terlepas bacalah pada waktu subuh ( fajar ), jika terlepas juga bacalah pada waktu pagi dan jika tidak sempat untuk semua waktu yang disebutkan itu bacalah di waktu yang kita mempunyai kesempatan.

2. Memilih tempat yang terbaik.
Rumah Allah merupakan tempat yang paling mulia di muka bumi ini, maka ia merupakan tempat yang terbaik untuk membaca Al-Quran. Selain daripada itu, tempat yang sunyi dan jauh daripada gangguan terutamanya hiburan turut dianggap sebagai tempat yang terbaik untuk bersama dengan Al-Quran. Begitu juga, jika berpeluang, kebun juga merupakan tempat yang terbaik memandangkan suasananya menjadikan pembaca begitu hampir dengan tanda-tanda kebesaran Allah.

Walaubagaimapun, tidak menjadi kesalahan untuk membaca Al-Quran di tempat awam yang ramai manusia seperti di stesen bas, dalam LRT, di restoran, namun suasana yang hiruk menyukarkan proses bertadabbur memandangkan tadabbur memerlukan suasana yang tenang.

3. Memilih cara duduk yang terbaik.
Cara duduk yang terbaik ialah duduk tasyahhud. Walaubagaimanapun ini bukan bererti kita perlu duduk tasyahhudsepanjang membaca Al-Quran namun hanya pada awal sahaja. Mungkin 5 minit pertama untuk sekadar mengambil berkat, kemudian tukarlah cara duduk yang dirasakan selesa.

4. Bersuci
Bersama Al-Quran menuntut pembacanya agar dalam keadaan bebas daripada hadath besar dan hadath kecil. Walaubagaimanapun ini hanyalah adab ( sesetengah mazhab mewajibkan ), jika sukar untuk berwuduk tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran. Manakala buat perempuan yang didatangi dengan uzur syari, mereka masih boleh membaca Al-Quran untuk tujuan belajar dan menjaga hafalan.

5. Bersuci 'dalaman'
Ramai dikalangan manusia sangat mengambil berat dalam menjaga adab luaran seperti berwudu', menutup aurat, meletakkan Al-Quran ditempat yang tinggi, namun mereka lupa bahawa 'dalaman' juga perlu dijaga. Telinga yang tidak 'disucikan' setelah mendengar kata-kata yang tidak elok, mulut kita tidak 'disucikan' setelah berbicara perkara yang fasik dan hati yang tidak disucikan daripada penyakit takabbur, hasad dengki, benci, bagaimanakah cahaya Al-Quran ingin masuk dalam diri?

Dr Solah Abdul Fattah Al-Kholidi telah memberi perumpamaan yang menarik tentang Al-Quran dan hati manusia, kata beliau:-
“Al-Quran itu ibarat hujan, seperti mana hujan tidak akan memberi kesan kepada yang keras dan batu, dan tidak akan memberi kesan melainkan tanah yang dilembutkan, begitu juga Al-Quran tidak dapat tidak ia perlu turun ke atas keadaan yang baik demi memberi kesan kepadanya dan menghidupkannya, dan keadaan itu ialah hati yang menerimanya” ( Miftah taamul maal Quran )
Justeru itu ambillah masa beberapa detik untuk beristighfar dan memohon ampun kepada Allah terhadap dosa yang dilakukan sebelum menyelak helaian Al-Quran. Moga-moga dengan keinsafan tersebut, hidayat Allah akan datang dan kefahaman serta penghayatan kita terhadap Al-Quran akan lebih mudah.

6. Menghadirkan niat dan ikhlas.
Walaupun membaca Al-Quran itu adalah ibadat umum, tidak menjadi masalah untuk 'berniat'. Ini kerana niat itu asalnya ialah menyatakan tujuan melakukan sesuatu itu kerana lillahitaala. Termasuklah membaca Al-Quran. Ini kerana ada yang membaca kerana ingin menunjukkan kelunakan suaranya. Ada juga yang membaca kerana diupah dan pelbagai lagi. Justeru itu ada baiknya sebelum membaca Al-Quran, kita mendatangkan keikhlasan pada diri.

7. Membaca istiazah dan bismilah
Apabila disebut ibadat, pasti tidak akan terlepas daripada gangguan Iblis dan Syaitan. Untuk itu, Allah telah menyeru manusia apabila ingin membaca kitabnya ini, memohon perlindungan Allah daripada Syaitan yang direjam. Firman Allah:-
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Dan apabila kamu membaca Al-Quran maka hendaklah meminta perlindungan dengan Allah daripada Syaitan yang direjam ( Al-Nahl : 98 )
 Untuk membaca Al-Quran dari awal surah, bacalah istiazah ( a'uzubillah ) dan basmalah ( bismillah ), manakala jika membaca bukan di awal surah atau membaca satu dua ayat, memadailah dengan membaca istiazah. 

 
8. Bebaskan diri daripada kesibukan dan hajat.
Seperti ibadat solat yang dituntut agar kita tenang daripada sebarang gangguan fizikal, begitu juga Al-Quran. Penuhilah hajat-hajat badan seperti makan ketika lapar, minum jika haus, membuang air ketika berhajat dan urusan-urusan lain yang boleh mengganggu proses pembacaan kita dengan Al-Quran. Ini kerana Al-Quran juga berhajat kepada fokus dan khusyuk dikalangan pembacanya seperti mana solat.

9. Membesarkan Al-Quran.
Ramai orang membaca Al-Quran, namun tidak ramai yang terkesan dengan kitab ini. Puncanya ialah apabila membacanya mereka merasakan ia sama seperti bacaan-bacaan lain. Hakikatnya, Al-Quran itu ialah tanda-tanda kebesaran Allah. Seperti mana kita kagum dengan makhluk-makhluk Allah, maka Al-Quran itu sendiri lebih wajar untuk dikagumi memandangkan ia adalah kalam Allah.

Justeru itu, hadirkanlah perasaan kagum dengan kitab suci ini. Perasaan ini juga perlu dipupuk dengan meluaskan pembacaan kita terhadap 'ijaz Al-Quran iaitu karya-karya yang membicarakan tentang mukjizat Al-Quran.

10. Berhenti pada setiap ayat untuk bertadabbur.
Al-Quran bukan hanya untuk dibaca, namun untuk ditadabbur agar diambil peringatan padanya. Begitu juga ukuran kesan Al-Quran pada diri seseorang bukan kerana jumlah khatam beliau dengan Al-Quran, bukan juga kerana hafalannya semata-mata, namun sejauh mana dirinya bertadabbur, mengikut dan mengamalkan apa yang disebut dalam Al-Quran. Firman Allah:-

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf itu ( bangsa Arab ) seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum ini benar-benar dalam kesesatan yang nyata ( Al-jumuah : 2)
Ayat ini menerangkan mengapa Nabi Muhammad sollallahualaihiwassaam diutuskan kepada kaumnya, kaum jahiliyyah iaitu agar dapat dibacakan terhadap mereka ayat-ayat Allah. Tidak sekadar bacaan, namun ayat-ayat tersebut digunakan untuk menyucikan hati mereka, mengajar, serta mendatangkan hikmah.  Semua itu menunjukkan Al-Quran bukan hanya untuk bacaan semata-mata namun untuk memberi peringatan kepada manusia.

Justeru itu, demi mendekatkan diri dengan Al-Quran, pilihlah Al-Quran yang beserta dengan terjemahan kerana ia akan memudahkan proses memahami dan menghayati ayat-ayat yang terdapat dalam kitab tersebut. Hakikatnya pada zaman kini, terdapat pelbagai terjemahan Al-Quran yang menarik persembahannya untuk orang awam. Ada yang disertakan dengan hukum tajwid, diletakkan dengan tafsir-tafsir ulama ringkas, dimasukkan hadith dan pelbagai lagi yang semua itu adalah rahmat kepada pembaca agar tidak hanya membaca, bahkan bertadabbur dengan ayat-ayat suci Allah ini.

11. Melahirkan perasaan
Al-Quran mendatangkan berita gembira dan dalam masa yang sama juga kitab ini memberi peringatan dan ancaman. Semua itu adalah ganjaran dan balasan buat manusia apabila mereka dikembalikan kepada Allah kelak. Yang patuh pada Tuhannya dijanjikan ganjaran syurga, manakala yang sebaliknya, bakal dihumban ke neraka.

Justeru itu, dalam membaca Al-Quran, antara adab dengan kitab suci ini ialah perlu melahirkan perasaan tatkala membaca ayat-ayatnya. Apabila bertemu dengan ayat-ayat yang memberi ancaman azab, maka takut dan menangislah serti berdoalah agar dijauhkan daripadanya, manakala apabila bertemu dengan ayat-ayat yang membicarakan tentang nikmat di syurga, bergembira dan berdoakan agar kita termasuk di dalamnya.

12. Merasakan ayat-ayat Allah berbicara dengan kita.
Memahami isi kandungan Al-Quran, kita akan dapati ayat-ayatnya seakan-akan berbicara dengan kita. Firman Allah

وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَٰذَا الْقُرْآنُ لِأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ 
Dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini untuk memberi peringatan kepada mereka dengannya dan juga kepada mereka yang sampai ( manusia selepas itu ) ( Al-An’am : 19 )
Ini bererti Al-Quran tidak hanya berbicara dengan Rasulullah sollahualaihiwassalam namun sesiapa sahaja yang dapat membaca kitab ini. Mereka perlu menyedari bahawa Al-Quran sedang memberi peringatan, menegur, menyindir, memberi nasihat dan memberi berita gembira.

Hakikatnya, peringatan Al-Quran sentiasa jelas buat pembaca. Sebagai contoh perkataan-perkataan yang mengandungi seruan seperi يا yang membawa maksud wahai, ketahuilah bahawa Al-Quran sedang memanggil kita. Ambillah masa untuk memerhatikan ayat tersebut.

13. Diam dan Mendengar Al-Quran apabila dibacakan ayat
Walaupun adab ini diletakkan yang terakhir, namun ia adab yang paling penting. Ini kerana Allah sendiri yang menegaskannya berbanding adab-adab yang lain yang merupakan tafsiran ulama. Apabila mendengar ayat Al-Quran, hendaklah dengar dengan teliti dan diam, firman Allah:-
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan apabila dibacakan kepada kamu Al-Quran, maka hendaklah kamu dengar dan diam moga-moga kamu mendapat rahmat ( Al-'Arof : 204 )
Adab ini jarang dijaga bahkan tidak ramai yang mengetahuinya. Ia bukanlah suatu perkara yang sukar untuk difahami. Bayangkan jika anda sedang berbicara dengan seseorang tentang perkara yang penting tiba-tiba ada yang datang menyampuk, pastinya ia adalah gangguan yang kurang menyenangkan kita.

Justeru itu, samalah dengan Al-Quran, bahkan lagi biadap memandangkan pembaca Al-Quran itu sedang berbicara dengan Tuhannya dan Tuhannya itu sedang memberikan peringatan untuknya.

Maka tidak hairanlah, Allah menyebut sesiapa yang diam dan mendengar Al-Quran, balasannya ialah mendapat rahmat.

Dengan rahmat ini dirinya mudah memahami Al-Quran, mudah menghafalnya, mudah untuk mengamalkannya

Dan rahmat ini juga menjadikan dirinya sentiasa diredhai Allah

Comments

Popular posts from this blog

Memuliakan Ahli Al-Quran dan Larangan Menyakiti Mereka (إكرام أهل القرآن والنهي عن أذاهم)

Kelebihan Membaca dan Menghafal Al-Quran